HATI
Duhai hati yang tenteram, janganlah kau mudah tertipu dengan bisikan dan pujukan iblis laknatullah. Pertahankanlah kesucian dan kebersihanmu dengan benteng keimanan yang kukuh dan kalimah-kalimah Allah yang mempunyai hikmah serta mukjizat yang maha tinggi. Kau tidak harus membenarkan perasaan benci dan dendam bergantungan di dada. Kau juga perlu mengusir perasaan riak dan takbur yang ingin tumbuh di ruang perasaan. Pelihara dan jagalah ia (hati) dari semasa ke semasa agar kehidupan tidak digelisahi dugaan dan cabaran duniawi.
KAKI
Duhai kaki yang lincah, janganlah kau melangkah ke tempat-tempat atau ke majlis-majlis maksiat dan penuh hiburan yang mengasyikkan. Janganlah kau merayau-rayau di lorong-lorong gelap atau di kawasan-kawasan hitam, tempat syaitan dan iblis melepak dan menggoda. Apa yang baik bagimu ialah melangkah gagah di bumi Tuhan untuk mencari rezeki yang halal, menghadiri majlis-majlis ilmu, beribadat di masjid dan surau, membantu fakir miskin, membangunkan masyarakat dan negara serta berjihad di jalan Allah.
TANGAN
Duhai tangan yang bestari, janganlah kau menyentuh atau mengambil barang-barang yang haram bagimu. Janganlah kau kotorkan jari jemarimu dengan rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa. Janganlah kau menjamah atau meraba orang lain yang sentiasa memelihara kehormatan dirinya. Sebagai anggota tubuh yang penting, kau harus menulis, mencipta, mengukir, memahat, menggubah dan menyusun benda-benda yang boleh memberi manfaat kepada agama, bangsa dan negara.
TELINGA
Duhai telinga yang peka, janganlah kau mendengar suara-suara atau bunyi-bunyian yang boleh melalaikan hati daripada mengingati Tuhan Maha Pencipta. Sebaliknya dengarlah kisah-kisah yang boleh memberi iktibar dan pengajaran. Dengarlah kuliah-kuliah agama yang boleh memantapkan keimanan dan ketakwaan terhadap Tuhan yang Maha Agung. Di samping itu, kau dengarlah lagu alam, gurindam kemanusiaan dan puisi ketuhanan yang boleh menggerakkan keinsafan dan kesedaran, yang boleh menyatukan kau dengan pengertian dan hakikat kehidupan.
MULUT
Duhai mulut yang lembut, janganlah kau mengeluarkan suara atau kata-kata yang busuk dan karut marut. Janganlah kau mengeji dan mengumpat, menjual cerita dan menyebarkan fitnah yang membabitkan orang-orang tertentu. Di samping itu, janganlah kau telan makanan dan minuman yang haram. Takutlah olehmu akan pembalasan Tuhan. Alangkah baiknya kalau kau sentiasa mengucapkan zikir, membaca al-Quran dan hadis serta memberi nasihat dan petunjuk yang baik kepada orang-orang yang memerlukan bimbingan.
MATA
Duhai mata yang bercahaya, janganlah kau memandang benda-benda maksiat yang terdedah. Janganlah kau mengintai dan mengintip untuk mengetahui keburukan jiran-jiranmu. Perbuatan itu akan mendatangkan keburukan kepadamu kelak.Sebenarnya kau dicipta bukan untuk memandang benda-benda maksiat atau mengetahui perkara-perkara di sebalik dinding kehidupan orang lain. Sebagai mata, kau sepatunya memandang dan menyorot rahsia kejadian alam yang luas dan indah ini untuk mengetahui dan mengakui kebesaran dan keagungan Ilahi yang mencipta alam dan segala makhluknya termasuk tumbuh-tumbuhan yang penuh dengan keajaiban.
No comments:
Post a Comment